permulaan yang baru

Dimulakan dengan ha ha ha. Aku sendiri tak pasti apa hala tuju hidup aku sekarang ni. Yelah selama ni aku hidup ikut suka aku je nak ikut hala tuju mana. Ikut perkembangan semasa la kononnya. Lama-lama dah hilang hala tuju. Mungkin sebab tu orang kata dalam hidup ni kena ada hala tuju. Kena ada tujuan hidup. Barulah hidup tu bermakna. Orang yang kata la. Aku cakap je apa yang orang cakap.

Kalau difikirkan secara waras, hidup ni memang perlukan hala tuju. Perlukan satu tujuan yang jelas. Jadi kita tahu apa matlamat dalam hidup no. Contohnya kalau matlamat kau nak jadi kaya, kau tahu apa yang perlu kau lakukan untuk mencapai matlamat tersebut. Walau apa jua caranya, kau tahu yang kau ingin jadi kaya. Begitu juga dengan matlamat sebenar kita hidup. Dari segi agama kita tahu yang hidup di dunia ini hanyalah sementara. Apa yang pasti adalah alam dan kehidupan selepas kematian.

Jadi sekarang ni apa yang perlu dilakukan untuk kembali semula ke jalan yang benar? Ke jalan yang diredai. Ke jalan yang sebenar iaitu jalan yang telah ditetapkan oleh Tuhan yang Maha Esa yang kita sebagai ciptaanNya harus ikut. Kau faham tak maksud aku? Aku percaya (walau aku bukannya alim) yang hidup berTuhan itu adalah penting. Ia memberikan kita idea atau gambaran bahawa hidup di dunia ini bukannya satu-satunya kehidupan yang kita ada. Akan ada kehidupan lain yang menanti setelah kematian dan ia bergantung kepada amalan-amalan kebaikan kita di dunia ini. -tarik nafas dalam-dalam mengingati segala dosa yang telah dilakukan

Sebagai permulaan, adalah penting bagi aku untuk kembali ke asas kenapa kita dijadikan sebagai manusia. Kita ada tugas penting di dunia ini iaitu menyembah Tuhan yang esa yakni solat 5 waktu. Perkara asas yang ramai orang lupa buat-buat lupa. Untuk orang seperti aku, adalah selayaknya aku tanya diri aku sendiri bila kali terakhir aku sembahyang. Soalan yang aku sendiri tidak tahu jawapabannya. Semoga Tuhan memberikan rahmat dan petunjuk pada diriku ini.

Bila solat dah sempurna (ingat solat adalah tiang agama), barulah kita melakukan perkara-perkara yang lain yang disunatkan seperti tahajjud, solat-solat sunat, dan perkara-perkara yang dituntut yang lain. Ingat, pintu taubat sentiasa terbuka sehinggalah kita ‘menutup mata’ buat selamanya. Buat sikit-sikit dulu lama-lama nanti jadilah ia bukit. Kukuhkan asas solat dulu. Bila tiang dah kukuh, senang (harapnya) untuk kita melakukan perkara-perkara lain yang banyak pahalanya. Aku sangat berharap yang aku mampu untuk melakukan perubahan dalam hidup ini dan kembali ke fitrah kejadian kita sebagai manusia. Insyallah…


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *